Lompat parti: Peguam Besar Sarawak masih teliti langkah seterusnya


KUCHING-- Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak masih mengkaji langkah seterusnya yang harus diambil bagi pelaksanaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti di negeri itu.


Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid berkata pihaknya sudah melihat pindaan tersebut namun keputusan masih belum dibuat.


Beliau berkata sebarang keputusan yang akan diambil nanti termasuk sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.


“Saya sudah melihatnya (rang undang-undang itu) tapi sebarang keputusan belum lagi dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Kompleks Mahkamah Kuching di sini, hari ini.


Pada 30 Julai lepas, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Peguam Besar Negeri Sarawak perlu mengkaji langkah seterusnya yang harus diambil susulan pindaan Perlembagaan tersebut.

 

Fadillah Yusof berkata Sarawak sememangnya sudah mempunyai peruntukan mengenai larangan melompat parti dalam Perlembagaan negeri itu.


Namun jelasnya peruntukan tersebut tidak dapat dilaksanakan sebelum ini kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Pada 28 Julai lepas, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.


Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili meminta DUN Sabah dan Sarawak supaya segera membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari.


Ongkili berkata ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat, tidak terpakai di kedua-dua DUN berkenaan.


 -- BERNAMA 

Next Post Previous Post