Lagi 12 guni bangkai babi dibuang secara haram di Sungai Semenggo


KUCHING-- Lagi guni mengandungi bangkai babi dibuang secara haram di Sungai Semenggo 2 dijumpai, kata Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian.


Jelasnya, sudah beberapa hari berturut-turut pembuangan haram itu berlaku di Sungai Semenggo 2.


   

"Baru pagi tadi, kita telah melihat 12 lagi guni baru dibuang ke dalam sungai," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kata Kong lagi, terdapat dua isu timbul ekoran insiden ini iaitu masalah pembuangan haram yang berulang dan bangkai babi yang dibuang dikhuatiri dijangkiti wabak demam babi Afrika (ASF).


     

"Memandangkan perkara ini telah pun dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan, langkah perlu diambil untuk mengenal pasti laluan masuk dan menyekatnya.


"Malah, bangkai babi yang dibuang di Sungai Semenggo 2 dikhuatiri dijangkiti ASF, sepanjang 1 minggu lepas, kita telah melihat lebih 50 guni dibuang ke dalam sungai ini. 



"Jika ia memang benar babi-bagi ini telah dijangkiti, maka betapa teruknya keadaan ASF di Kuching," soalnya.


Pada masa yang sama, beliau mempersoalkan langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk membendung virus ini sekiranya ia sebenar merebak di sini.



"Sebarang ketidakupayaan atau kelewatan tindakan susulan boleh membawa kepada pelupusan yang lebih sembarangan yang kemudiannya boleh menjejaskan ekosistem dan kesihatan awam.


"Oleh itu, saya sekali lagi menggesa pihak berkuasa untuk melihat perkara ini dengan segera," tegasnya.

Next Post Previous Post