Kemalangan maut di Taman Tunku, 7 remaja lelaki ditahan

Tangkap layar aksi remaja menunggang motosika secara berbahaya di Jalan Taman Tunku Selasa lalu.

MIRI— Polis menahan tujuh remaja lelaki berhubung satu kemalangan maut melibatkan seorang remaja perempuan di Jalan Taman Tunku pada Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 15 hingga 19 tahun.



“Polis menerima satu laporan mengenai kemalangan itu pada 2.56 petang tadi.


Bertindak daripada maklumat yang diterima, polis telah menahan kesemua suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini ini.


Dalam kejadian pada Selasa lalu, sekumpulan remaja telah menunggang motosikal secara beriringan sebelum salah sebuah motosikal tersebut bergesel dengan motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki dan mangsa.


“Pergeselan itu menyebabkan penunggang lelaki dan mangsa terjatuh di tengah jalan sebelum dilanggar oleh dua buah motosikal yang datang dari arah belakang.


Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah patah paha manakala pembonceng wanita cedera parah dan disahkan meninggal dunia pada 25 Ogos jam 11.16 malam,” kata Alexson.


"Ekoran kejadian tersebut pihak polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah membuat tangkapan ke atas tujuh  orang lelaki untuk tindakan lanjut,"ujar Alexson.


Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu telah tular beberapa klip video aksi menunggang motosikal secara berbahaya oleh remaja terbabit di media sosial.

Next Post Previous Post