-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Kejayaan adik di Birmingham cetus semangat abang di Indonesia

| Ogos 05, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-05T15:12:24Z
Bryan Junency membawa pulang sebutir emas dan perak dalam acara powerlifting kategori 80 kilogram (kg). Gambar kredit Majlis Sukan Negara

SOLO (INDONESIA)—Mengambil aura semangat adik, Bonnie Bunyau Gustin meraih emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 awal pagi tadi, turut meningkatkan semangat abangnya untuk mencipta kejayaan di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11, di sini.


Bryan Junency, 25, telah mempamerkan aksi yang bertenaga untuk membawa pulang sebutir emas dan perak dalam acara powerlifting kategori 80 kilogram (kg) di sebuah hotel di sini.


Badang kerdil berasal dari Serian, Sarawak itu, muncul juara bagi acara keseluruhan  dengan angkatan sejumlah 498kg dalam tiga percubaan, mengatasi pesaing dari Indonesia, Tambi Sibarani (495kg) dan Min Zaw Win (110kg) dari Myanmar.


Namun, Bryan terpaksa berpuas hati dengan perak bagi angkatan terbaik menerusi bebanan 170kg pada percubaan ketiga, hanya kurang tiga kilogram berbanding Tambi, manakala peserta Myanmar itu meraih gangsa dengan angkatan 110kg pada percubaan pertama.


“Saya sebenarnya tak sangka boleh menang kerana tengok angkatan pihak lawan lebih tinggi, namun saya berpuas hati. Ada juga bawa semangat Bonnie...Ada berhubung dengannya, ucap tahniah kepada dia, manakala dia cakap buat yang terbaik,” katanya.


Ini merupakan penampilan keduanya di APG, selepas menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2017 di  Kuala Lumpur.


Terdahulu, Bonnie Bunyau merangkul emas Birmingham 2022 mencatatkan rekod Sukan Komanwel setelah melakukan angkatan 220kg dalam kategori lightweight bawah 72kg.


Sementara itu, Nicodemus Manggoi Moses berjaya menyambar kedua-dua emas bagi acara 88kg lelaki selepas mengangkat muatan terbaik 185kg serta keseluruhan 548kg.


Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik peserta Indonesia ,Andika Eka Jaya (512kg/173kg) dan wakil Thailand, Somsak Kakuen (507kg/170kg).


Bagi kategori 97kg lelaki, Wan Nur Azri Wan Azman meraih perak bagi angkatan terbaiknya seberat 173kg, manakala muatan sejumlah 343kg hanya memberikannya gangsa keseluruhan.


Wakil tuan rumah, Atmaji Priambodo (568kg/193kg) merangkul kedua-dua emas bagi kategori tersebut, manakala badang dari Thailand, Boontun Chadarum (477kg/ 161kg) meraih perak keseluruhan dan gangsa angkatan terbaik.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update