Hishammuddin puas hati dengan kelengkapan Poliklinik Kesihatan ATM Kem Penrissen

Hishammuddin beramah mesra dengan salah seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen di sini.

KUCHING— "Banyak kepuasan". Itu ungkapan yang keluar dari mulut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas melawat Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen di sini.


Apatah lagi majlis pecah tanah projek yang bernilai RM28.4 juta itu yang dilaksanakan oleh pihak JKR Sarawak bermula pada 21 Nov 2017, telah disempurnakan oleh beliau sendiri.


Idea pembinaan poliklinik olehnya itu merupakan suatu perjuangan yang telah lama dirancang, bagi menjaga kebajikan anggota ATM.


Menurutnya, semangat kesungguhan, keberanian dan kemampuan anggota tentera banyak bergantung kepada layanan yang diberikan oleh kerajaan dan masyarakat kepada mereka, khasnya dari segi soal kebajikan.


Ini telah, sedang dan akan terus menjadi keutamaan kementeriannya, namun usaha itu harus turut dibantu oleh pihak korporat bagi menjamin kestabilan dan keselamatan negara.


“Pihak swasta contohnya di Sarawak ini, di mana kita memastikan kestabilan dan keselamatan, dalam sektor minyak dan gas sahaja, saya menyeru, merayu dan minta sangat mereka tampil ke hadapan dengan tanggungjawab sosial korporat untuk memperlengkapkan poliklinik-poliklinik yang akan kita bina,” kata Hishammuddin.


Menurutnya, empat lagi poliklinik seumpama itu akan dibina iaitu di Sungai Petani, Kedah, Seberang Takir (Terengganu), Kluang (Johor) dan Kuantan (Pahang).


Poliklinik kesihatan pertama ATM di Sarawak yang didirikan di tapak seluas 13,643 meter persegi itu, bakal memberi manfaat kepada kira-kira lebih 12,000 anggota ATM, keluarga serta veteran ATM di Kuching dan kawasan sekitar untuk menikmati kemudahan kesihatan yang selesa dan lebih baik.


Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada hospital kerajaan di Kuching dan pusat-pusat kesihatan ATM lain, di samping bakal menempatkan khidmat doktor pakar perubatan dan pakar pergigian termasuk kemudahan pesakit luar dan wad.


Kemudahan perkhidmatannya meliputi klinik tentera, klinik kesihatan keluarga, unit kecemasan, dewan bedah, wad pesakit dalam, pusat hemodialisis, unit rehabilitasi, perkhidmatan pergigian, kesihatan awam, makmal perubatan, farmasi dan pengimejan (X-ray).


Dengan beroperasinya poliklinik ini, warga ATM, keluarga serta veteran ATM tidak lagi perlu diterbangkan atau dirujuk kepada HAT atau hospital di Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan khidmat doktor pakar ataupun kemudahan lain kecuali bagi kes-kes tertentu sahaja.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post