Hasrat PSB lantik See Chee How sebagai Timbalan Presiden tidak kesampaian

Wong Soon Koh berbual mesra dengan delegasi sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan PSB Ke-3 di Kuching hari ini.

KUCHING-- Hasrat Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk melantik See Chee How sebagai Timbalan Presiden II hari ini tidak kesampaian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang itu bertindak keluar parti baru-baru ini.

Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, disebabkan tindakan See itu, jawatan berkenaan terpaksa dibiarkan kosong.


"Jawatan Timbalan Presiden II itu sememangnya kita berhasrat untuk melantik beliau (See) tetapi beliau telah keluar daripada parti," katanya pada sidang media Persidangan Perwakilan Tritahunan PSB Ke-3 di sini, hari ini.


Dalam persidangan itu, Soon Koh kekal sebagai Presiden manakala Dr Johnical Rayong Ngipa Timbalan Presiden I, dan Baru Bian Setiausaha Agung PSB.


Naib Presiden Kanan pula dibarisi Dato Ranum Mina, Datuk Janet Lau Ung Hie, Ali Adap dan Dr Rabaah Tudin.


Jawatan Naib Presiden pula dibarisi Datuk Lawrence Lai, Andrew Shiling Banggit, Elly Lawai Ngalai, Datuk David Lau Pung Chung, Norina Umoi Utot, Yakup Khalid dan Kong Tze Ling.


Sementara itu, jawatan Naib Presiden atau Pengerusi Pemuda disandang Wilson Entabang dan Naib Presiden @ Pengerusi Wanita disandang Wong Hie Ping.


Dalam pada itu, Soon Koh memberitahu, PSB tidak menolak kemungkinan akan mempertaruhkan lebih ramai calon belia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.


Ini katanya bagi menarik lebih ramai golongan belia menyertai parti sekali gus memikat para pengundi yang terdiri daripada golongan belia di Sarawak.


"Kita akan lakukan yang terbaik untuk parti, kita akan mencari lebih ramai anak muda yang berpengalaman dan berkebolehan.


"Kita juga menggesa pemimpin termasuk ahli PSB untuk aktif mendekati golongan muda terutama kumpulan yang berumur 18 tahun kerana mereka perlu peka terhadap cita-cita serta aspirasi golongan tersebut bagi memperkukuhkan lagi parti ini," ujarnya.


Jelasnya, belia merupakan 700,000 pengundi baharu pada pilihan raya akan datang. 


Selain itu, beliau memberitahu, PSB mungkin bertanding di 10 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang termasuk kerusi Parlimen Selangau yang kini disandang Baru Bian.


Justeru, katanya Jawatankuasa Pilihan Raya parti ditubuhkan sebagai persiapan menghadapi PRU15 yang dipengerusikan oleh Baru Bian.

Next Post Previous Post