Erti persahabatan sebenar, babak dua sahabat bantu rakan buka tali pinggang, kemas baju ketika buang air buat ramai terharu

Babak dua sahabat membantu seorang rakan ketika hendak dan selepas membuang air yang membuat netizen terharu di SK Kapit semalam. Gambar kredit FB Sylvester Ronny Pulene

KAPIT— “Nak nangis pulak baca dan tengok gambar kat post ni. Semoga membesar terus menjadi insan yang baik dan berjasa ya sayang,” demikian komen netizen yang tersentuh hati melihat keprihatinan dua orang sahabat yang membantu rakan mereka membuka tali pnggang kerana ingin membuang air.


Babak menyentuh hati ini dirakamkan oleh seorang guru Sylvester Ronny Pulene di Sekolah Kebangsaan (SK) Kapit, selepas waktu rehat ketika hendak menuju ke kelas.



“Sempat menyaksikan erti persahabatan yang sebenarnya, pementas enggau kaban (kasih sayang terhadap sahabat).


“Kedua-dua sahabat itu membantu membuka tali pinggang dan apabila sudah selesai, mereka turut mengemaskan semula pakaian murid dikenali sebagai ‘J’.


Selepas itu mereka berpimpin tangan balik ke kelas semula sambil ketawa riang,” coretnya menerusi hantaran semalam.


Beliau kemudian memuat naik dua keping gambar bagi menceritakan momen tulusnya persahabatan tiga sahabat itu.


Menurut Sylvester, ‘J” itu sememangnya seorang murida yang istimewa dan sangat disayangi rakan-rakannya.


“Dia adalah bekas murid saya di prasekolah. Dia masih tak pandai mengurus diri sendiri. Bahkan semasa di Tahun 1, dia masih lagi menggunakan pampers. Tapi mungkin hari ini dia tak guna pampers.


“Percakapan dia pun tak berapa jelas dan agak perlahan. Namun yang membuatkan saya bangga kerana dia mempunyai ramai kawan di dalam kelas yang cukup prihatin,” tambahnya.


Malah katanya, mereka sanggup berbaris untuk mengambil makanan RMT di kantin sekolah.


“J seorang yang sangat peramah walaupun dia berbeza daripada yang lain. Pendek kata, semua rakan sekelas memberikan perhatian walaupun mereka masih berusia tujuh tahun.


Sementara itu perkongsian tersebut menjadi tular dengan lebih 6,000 perkongsian dan 10,000 Likes.


Netizen juga mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan guru yang telah berjaya mendidik anak-anak tersebut menjadi seorang yang baik dan suka menolong.


“Terharu membaca kisah anak-anak murid ini. Nilai seperti ini lah seharusnya dikekalkan dan dididik di dalam anak-anak muda generasi sekarang. Tahniah saya ucapkan kepada ibubapa dan para guru yg telah membesakan dan mendidik mereka semua dengan betul,” komen seorang netizen.


“Happy tgk gambar mcm ni,” kata seorang lagi netizen.


“Akan jadi kenangan terindah bila mereka sudah dewasa nanti,” tambah seorang netizen

Next Post Previous Post