-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Cuepacs adakan pertemuan akhir dengan kerajaan esok

| Ogos 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-25T04:25:20Z
Gambar hiasan kredit Awani

BESUT—Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengadakan rundingan terakhir dengan pihak kerajaan esok bagi memuktamadkan perkara yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Ogos ini.


Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata pertemuan itu diharap boleh memberi kelegaan kepada 1.4 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah di negara ini.


“Memandangkan apa yang akan diumum Perdana Menteri nanti masih belum muktamad, kami akan mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi kerajaan mengenai berita gembira buat penjawat awam itu,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat isu-isu semasa perkhidmatan awam kepada 50 peserta Kursus Pemantapan Kepimpinan CUEPACS Negeri Kelantan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur dekat Bukit Keluang di sini, malam tadi.


Pada 21 Ogos lepas, Ismail Sabri memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam dijadualkan pada 30 Ogos. 


Adnan berkata kenaikan gaji minimum dan elaun tambahan bagi penjawat awam adalah antara fokus yang wajar diberi keutamaan oleh kerajaan buat masa ini selari dengan kenaikan kos sara hidup dalam keadaan ekonomi semasa.


“Bagaimanapun, CUEPACS memahami kebimbangan kerajaan mengenai kewangan negara sekiranya pemberian adalah dalam bentuk kenaikan gaji dan kenaikan lain kepada penjawat awam kerana hal itu sekali gus akan meningkatkan tanggungan kerajaan terhadap wang saraan (pencen).  


“Kami yakin dan percaya kerajaan mampu untuk mempertimbangkan kalau bukan semua yang kami minta dan bincangkan sebelum ini, setidak-tidaknya sebahagian daripadanya," kata beliau.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update