Arab Saudi benarkan pemegang visa pelancong tunai umrah

Gambar hiasan kredit Unsplash

RIYADH—Arab Saudi pada Sabtu mengumumkan pihaknya membenarkan semua pelawat termasuk pemegang visa pelancong untuk menunaikan umrah, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Arab Saudi.


Menurut Kementerian Haji dan Umrah, keputusan itu berkuat kuasa untuk musim umrah bermula 30 Julai bertujuan memberi jemaah pengalaman ibadah dan menikmati kebudayaan setempat. 


Kebenaran itu juga terpakai kepada pemegang visa semasa ketibaan atau e-visa dan visa Amerika Syarikat, British atau Schengen. 


Pemegang visa untuk melawat ahli keluarga dan lain-lain juga boleh menunaikan umrah dengan membuat janji temu melalui aplikasi Eatmarna atau menghantar permohonan ke Unified National Visa Platform.


Pelawat juga dikehendaki memiliki insurans kesihatan COVID-19, kemalangan, kelewatan atau pembatalan penerbangan serta isu lain yang berkaitan umrah.


Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan 20,000 visa umrah telah dikeluarkan pada 31 Julai.


Keputusan itu dibuat susulan pengumuman Arab Saudi pada awal bulan ini untuk memperkenalkan semula program visa semasa ketibaan selepas digantung selama kira-kira dua tahun akibat pandemik COVID-19.


Arab Saudi pernah mengeluarkan visa haji dan umrah untuk jemaah haji, tetapi hanya membenarkan jemaah berada antara di kota Mekah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah itu.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post