95 projek tenat, 18 ditamatkan kontrak serta-merta kata Uggah

Gambar kredit Pegawai Media Timbalan Premier Sarawak


KUCHING—Sebanyak 18 kontrak projek sakit bernilai RM563 juta ditamatkan serta-merta dalam tempoh terdekat ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


Beliau berkata, 18 projek tenat ini merupakan antara 95 projek bernilai RM10.357 bilion yang disenaraikan sebagai projek lewat kritikal sehingga Jun tahun ini.


Daripada 95 projek tenat itu, 45 melibatkan  bangunan; jalan (20) dan jalan pesisir pantai dan Second Trunk Road (10),  jambatan dan dermaga (9) infrastruktur pembangunan luar bandar (7) dan pakej  Lebuhraya Pan Borneo (4).


"Saya difahamkan bahawa  terdapat 47 daripada projek kelewatan kritikal bernilai RM2.394 bilion dijangka siap menjelang tahun ini terutamanya pembaikan sekolah usang, pembinaan dan menaiktaraf jalan raya termasuk pembinaan bangunan kerajaan," ujarnya.


Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Bilik Gerakan Sementara Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak di Wisma Saberkas hari ini.


Lawatan bagi membincangkan serta mengesan projet tenat dan kritikal di seluruh negeri.


Taklimat yang dikendalikan jurutera dari JKR itu memberi tumpuan kepada status semasa 236 projek pembangunan bernilai RM28.67 bilion yang sedang dilaksanakan pada masa sekarang.


Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) turut dimaklumkan dalam sesi taklimat itu bahawa bangunan klinik kesihatan di Long Busang, Kapit dan di Lubok Antu di Sri Aman merangkumi kerja-kerja pembaikan sekolah usang di Samarahan, Kapit dan Sibu sedang giat dilaksanakan.


“Sebanyak 30 projek lain akan diselamatkan termasuk  pembinaan jambatan, bangunan pejabat, pembinaan serta menaiktaraf jalan raya, klinik kesihatan, kuarters guru, kompleks sukan dan pembaikan sekolah usang.


“Antaranya jalan masuk ke Empangan Hidro Elektrik Baleh bernilai RM95 juta, Pusat Penyelidikan dan Kemajuan Industri Lada Nasional bernilai RM40 juta di Semenggok, menaik taraf Jalan Pakan bernilai RM24.56 juta dan asrama SK Maludam bernilai RM35.76 juta.


Kesemua projek ini dijangka siap menjelang September tahun ini manakala Klinik Kesihatan Serian bernilai RM23.89 juta dijangka siap pada suku pertama tahun depan.

Next Post Previous Post