2.5 juta ayam diternak koperasi, tangani isu sekuriti makanan

Gambar hiasan kredit unsplash

KUALA LUMPUR—Sebanyak 2.5 juta ayam telah diternak menerusi penglibatan 21 koperasi berasaskan agromakanan dalam skim kontrak ternakan ayam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Muslimin Yahaya berkata skim itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat integrator yang berperanan membekalkan anak ayam, dedak, makanan tambahan, ubatan dan pemeriksaan berkala tumbesaran ayam.


“Sebanyak 184 koperasi terlibat secara langsung dalam menjalankan aktiviti berkaitan agromakanan yang menyumbang kepada sekuriti makanan dengan menjana pusingan pendapatan keseluruhan sebanyak RM274,687,368.


“Koperasi berasaskan agromakanan menawarkan barangan berasaskan pertanian dan ternakan seperti ayam pedaging, ayam kampung, daging lembu dan ikan ternakan pada harga yang berpatutan melalui rangkaian kedai Coopmart, kedai runcit, pasar tani dan pasar raya,” katanya.


Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) mengenai peranan koperasi berasaskan pertanian untuk membantu menangani isu sekuriti makanan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post