19 isu penting dalam buku Tommy Thomas perlu perhatian kerajaan, Wan Junaidi

19 isu penting, Buku Tommy Thomas, Wan Junaidi, PPK, Sarawak Update

KUCHING—Laporan akhir Pasukan Petugas Khas (PPK) telah mengenal pasti 19 isu penting yang memerlukan perhatian kerajaan berikutan dakwaan yang terdapat dalam buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan akhir PPK yang mengkaji dakwaan dalam buku itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan seterusnya.


“Laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan. Dalam hal ini, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu. 


“Laporan ini telah disediakan oleh PPK dalam tempoh sembilan bulan iaitu dari Disember 2021 hingga Ogos 2022,” katanya dalam kenyataan itu.


Wan Junaidi memaklumkan PPK telah membentang dan menyerahkan laporan berkenaan kepada pihaknya dalam mesyuarat diadakan semalam yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.


Pada 18 April lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan bersetuju dengan pembentangan Laporan Interim oleh pasukan berkenaan yang dipengerusikan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak Datuk Seri Fong Joo Chung.


PPK dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Dr Junaidah Kamarruddin. 


Turut menganggotai PPK itu bekas hakim dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jagjit Singh Bant Singh, peguam Datuk Shaharudin Ali dan K.Balaguru serta wakil kerajaan Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.