Terserah kepada Presiden PBB terima Willie

Datuk Roland Sagah Wee Inn

KOTA SAMARAHAN--Keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan Datuk Willie Mongin menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terletak di tangan  Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Presiden parti.


Memetik laporan Suara Sarawak, Naib Presiden PBB, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, Abang Johari juga akan memutuskan membenarkan Willie mempertahankan kerusi parlimennya pada pilihan raya umum akan datang sekiranya beliau diterima menyertai PBB.


"Saya enggan memberi sebarang kenyataan lanjut berhubung perkembangan permohonan Willie bagi mengelak sebarang spekulasi dibuat mengenai perkara ini.


“Ia terpulang kepada Premier Sarawak sendiri untuk meletakkan sesiapa sahaja yang beliau minta untuk bertanding, " katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Penyerahan Tapak Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) di sini, hari ini. 


Menjelas lanjut, katanya, beliau hanya mengetahui permohonan Willie tersebut melalui laporan media.


“Kami tidak dimaklumkan mengenai permohonan beliau sehingga saya melihatnya menerusi laporan media,”ujarnya.


Bercakap bagi pihak masyarakat Bidayuh di bawah kerusi parlimen Puncak Borneo, Sagah menegaskan masyarakat itu juga perlu dirujuk sebelum keputusan dibuat mengenai pemilihan Willie.


“Saya tidak bercakap untuk diri saya sendiri…saya bercakap untuk masyarakat.  Saya tidak tahu lagi apa pandangan masyarakat mengenai permohonan Willie untuk menyertai PBB,” tambahnya.


Selain itu, Sagah juga tidak menafikan bahawa Willie pernah berkempen untuknya pada pilihan raya negeri yang lalu di kalangan pengundi Puncak Borneo dan ahli PBB yang lain.


Bagaimanapun katanya, kemenangan itu tidak boleh disifatkan datang daripada usaha Willie kerana ia adalah usaha yang kolektif.


Parlimen Puncak Borneo merangkumi Dun Tarat, Serembu dan Mambong.

Next Post Previous Post