Stok minyak sawit mentah naik 6.19 peratus pada Jun 2022


KUALA LUMPUR—Jumlah stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia pada Jun 2022 meningkat sebanyak 6.19 peratus kepada 881,299 tan daripada 829,915 tan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.


Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), inventori minyak sawit yang diproses turut menokok sebanyak 11.83 peratus bulan ke bulan kepada 773,774 tan daripada 691,911 tan.


“Secara keseluruhannya, stok minyak sawit meningkat 8.76 peratus kepada 1.66 juta tan daripada 1.52 juta tan sebelum ini.


“Pengeluaran MSM naik sebanyak 5.76 peratus kepada 1.545 juta tan berbanding 1.461 juta tan pada Mei,” demikian menurut MPOB dalam laporan prestasi industri itu bagi Jun 2022.


Selain itu, pengeluaran isirung sawit naik 6.62 peratus kepada 378,418 tan daripada 354,912 tan pada bulan sebelumnya.


Menurut MPOB, pengeluaran minyak isirung sawit mentah juga meningkat 10.94 peratus pada 175,731 tan daripada 158,408 tan pada Mei.


Eksport minyak sawit bagaimanapun merosot 13.26 peratus bulan ke bulan kepada 1.194 juta tan pada Jun 2022 daripada 1.376 juta tan pada bulan sebelumnya manakala eksport minyak isirung sawit meningkat 13.24 peratus bulan ke bulan pada Jun kepada 92,130 tan daripada 81,356 tan pada Mei.


“Eksport oleokimia turun 2.72 peratus bulan ke bulan kepada 210,924 tan daripada 216,816 tan manakala eksport biodiesel susut 48.89 peratus bulan ke bulan kepada 23,689 tan daripada 46,345 tan,” katanya.


Menurut MPOB, import MSM Malaysia bagi Jun 2022 berkurangan 0.04 peratus kepada 2,989 tan berbanding 2,990 tan pada Mei 2022 manakala jumlah import minyak sawit naik 2.48 peratus kepada 59,195 tan pada Jun daripada 57,763 tan dalam bulan sebelumnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post