Siri ketiga Road to MAHA dimeriahkan di Sarawak

Premier Sarawak, Abang Johari Tun, Pameran sempena, Program Jualan, Ladang Keluarga Malaysia, Siri Ketiga, Road, MAHA 2022, Gedong, Sarawak Update
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat pameran sempena Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Dataran Gedong. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak


GEDONG -- Siri ketiga Road To MAHA 2022 yang diadakan di negeri ini merupakan satu daripada tujuh lokasi terpilih di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Badrul Hisham Mohd. 

“Hari ini di Gedong kita dapat lihat pelbagai aktiviti promosi MAHA diadakan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan ‘fruit of the event MAHA’ iaitu keluarga Artocarpus seperti nangka, cempedak, sukun dan nangchem.

“Selain itu, kita telah memilih sembilan menu makanan seperti laksa Sarawak, bihun belacan, ayam pansuh serta lain-lain dan lima usahawan dari negeri Sarawak yang telah disaring akan berada di MAHA 2022,” katanya. 


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Dataran Gedong, hari ini.

Road to MAHA diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos ini bertempat di MAEPS, Serdang, Selangor dengan tema ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’. 

Ia merupakan platform bagi aktiviti pemadanan perniagaan, pameran teknologi dan inovasi terbaharu dalam bidang tani yang dijangka menjana lebih RM250 juta potensi nilai jualan.

Badrul Hisham berkata bagi Sarawak, MAFI menyasarkan kutipan jualan produk pertanian negeri itu sebanyak RM400,000, tidak termasuk produk makanan Bumi Kenyalang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata dari 1 Jun hingga 10 Julai, program JTDLKM mencatatkan kuantiti jualan keseluruhan berjumlah 588 tan metrik melibatkan  sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan. 

“Program khas JTDLKM merupakan kerjasama lima agensi di bawah MAFI iaitu FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). 

“Seramai 8,400 usahawan terlibat dengan sasaran nilai jualan adalah sebanyak RM10.5 juta,” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.