SEDC penting dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui - Abang Johari

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis jamuan malam sempena ulang tahun ke-50 SEDC. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING—Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bakal menjadi sayap penting untuk kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan teknoloji tenaga boleh diperbaharui, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Beliau berkata ini selaras dengan agenda negeri ke arah menggalakan tenaga hijau menjelang 2030.


Simbolik sempena sambutan ulang tahun ke-50 SEDC. Gambar kredit Sarawakku


“Perjalanan menuju tahun 2030 sangat jelas iaitu Sarawak menjadi negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi. Kita kena buat banyak penyelidikan dari sudut mengeluarkan tenaga yang boleh diperbaharui.


“Sarawak amat bertuah kerana kita boleh menghasilkan banyak hidrogen kerana kita mempunyai banyak empangan dan sungai. Ini boleh menjadi sumber yang menghasilkan tenaga mesra alam ini. Saya telah meminta SEDC memainkan peranannya untuk memanfaatkan perkara ini,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam sempena ulang tahun ke-50 SEDC, di sini, hari ini.


Pada majlis tersebut, SEDC memperkenalkan logo baharunya yang melambangkan jalan ke hadapan untuk memajukan perniagaan korporat dan usaha sosialnya.


Rekaan logo baharu itu bertujuan untuk menyemai keyakinan dan kepercayaan teguh dalam kalangan pemegang taruh SEDC kerana muncul sebagai salah satu agensi kerajaan utama di Sarawak.


Objektif perbadanan tersebut juga adalah untuk mengesahkan tahap profesionalisme, integriti, tegas dan dinamisme yang boleh dipercayai oleh pelanggan semasa dan masa depan mereka serta rakan kongsi strategik.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post