Sarawak lihat pelbagai pendekatan tangani isu inflasi, jaminan makanan

Abang Johari semasa majlis pelancaran Kenyalang Biris Rice dan Carus White Pepper di Lalaport Bukit Bintang City Centre di sini, yang diadakan serentak dengan prapelancaran Agrofest Sarawak 2022 dan Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2022. Gambar kredit Misiah Taib 

KUALA LUMPUR— Kerajaan Sarawak mencuba sedaya upaya untuk melihat pelbagai pendekatan yang boleh diguna pakai sebagai penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Abang Johari berkata pendekatan sedemikian sangat diperlukan kerana negara sedang berhadapan inflasi yang menjejaskan setiap kehidupan rakyat Malaysia berikutan kebergantungan yang tinggi terhadap import barangan.



“Jadi, kita perlu menangani isu (inflasi) ini untuk jangka panjang dan sebab itu kerajaan Sarawak antara lain akan mewujudkan taman agro di pelbagai kawasan dalam wilayah Bintulu dan Kuching.


“Taman agro ini dikhususkan untuk mentransformasikan sektor pertanian supaya ia boleh menjadi sektor yang berorientasikan eksport bukan hanya untuk penggunaan tempatan. Saya percaya Sarawak mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana tidak mempunyai masalah dengan isu tanah, hanya perlu diuruskan dengan baik,” katanya.


Abang Johari berkata demikian pada majlis pelancaran Kenyalang Biris Rice dan Carus White Pepper di Lalaport Bukit Bintang City Centre di sini, yang diadakan serentak dengan prapelancaran Agrofest Sarawak 2022 dan Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2022.


Sementara itu, pada sidang media Abang Johari memberitahu Sarawak kini turut mengehadkan penggunaan tanah untuk penanaman kelapa sawit kerana mahu menumpukan kepada usaha memperkasakan industri makanan. 


Katanya, melalui dasar yang sedang dilaksanakan, Sarawak juga mementingkan penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dalam memaksimumkan hasil tanaman petani dan memberi nilai tambah kepada industri makanan.


“Kalau kita lihat keadaan pada hari ini, Malaysia sebenarnya menerima tempias daripada tekanan geopolitik tetapi kita berasa agak anehlah juga sebab kita adalah sebuah negara yang mengeluarkan makanan.


“Sebab itu kita (Sarawak) sudah buat satu sumbang saran dengan melihat negara lain seperti Thailand dan China dalam memajukan sektor pertanian mereka,” katanya.


-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.