Hampir 100 peratus tenaga kerja di Zon Industri Samajaya rakyat tempatan

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan

LAWAS-- Tenaga kerja di kawasan Zon Industri Samajaya (Teknologi Tinggi) terdiri daripada lebih 98 peratus pekerja tempatan.


Memetik laporan DayakDaily, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, setakat ini seramai 14,000 tenaga kerja di kawasan zon perindustrian itu.


"Ia melibatkan pekerja dalam jawatan pengurusan tertinggi, jurutera dan pekerja kepakaran teknikal.


“Kita ada sumber termasuk tenaga kerja yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang teknikal," katanya ketika merasmikan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana di sini, semalam.


Awang Tengah memberitahu, di kawasan Zon Industri Samajaya, terdapat syarikat multinasional dari Amerika, Korea, Jepun dan negara lain.


Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan itu berkata, pelabur-pelabur dari negara luar berminat untuk melabur di Sarawak kerana negeri ini stabil dari sudut politik.


Justeru, kata beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Sarawak mempunyai potensi  yang banyak dan bukan sahaja di perdagangan dengan negara jiran Brunei, Indonesia dan Sabah.


“Pelabur ini berminat kerana politik kita stabil, kepimpinan Premier Sarawak melihat kepada masa hadapan,” jelasnya.


Dalam perkembangan lain, Awang Tengah berkata, minggu depan beliau akan mengetuai delegasi ke Singapura dan seterusnya ke Amerika dan Eropah untuk bertemu dengan pelabur-pelabur.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.