Rasuah RM24 juta: Bekas CEO direman SPRM, hampir keseluruhan wang rasuah berjaya dikesan


PUTRAJAYA--Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan.


Suspek lelaki berusia lingkungan 50an itu merupakan suspek keempat yang ditahan selepas tiga individu termasuk seorang CEO wanita direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu.



Majistret R.Prabakaran telah membenarkan suspek keempat tersebut direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 Julai 2022 setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.


Di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan suspek CEO wanita tersebut disambung reman selama tiga hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang.



Menurut sumber, bekas CEO lelaki berkenaan telah ditahan di rumahnya di Ipoh semalam (22 Julai) kira-kira jam 4 petang.


Dalam pada itu, sumber sama berkata, setakat ini pasukan siasatan dikatakan telah berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta tersebut hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.


Katanya, difahamkan pihak SPRM telah membekukan sebanyak 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini.


"Pasukan siasatan juga dikatakan telah berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta," ujar sumber.


Kata sumber lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta telah dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ini masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.


Tambah sumber, wang tersebut berjaya dikesan setelah pasukan siasatan melakukan analisa data menjejak aset.


Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Next Post Previous Post