Polis tahan 81,706 individu, rampas dadah bernilai RM262 juta

Rampasan dadah pada 13 Jun oleh PDRM Pulau Pinang. Gambar arkib kredit Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM

KUALA LUMPUR—Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 81,706 individu kerana disyaki terlibat pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983.


Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata jumlah tangkapan itu adalah daripada 69,648 kes bagi tempoh awal tahun ini hingga Jun lepas.


Beliau berkata dalam tempoh sama, PDRM merampas 10,464.20 kilogram (kg) pelbagai dadah; 2,394.91 liter pelbagai cecair dadah; 69,132.69 kilogram daun ketum; dan 44,809.30 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM262 juta.


“Dalam pada itu, PDRM turut membongkar enam makmal haram memproses dadah dengan tangkapan seramai 18 individu.


“Selain itu, di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, pelbagai aset sindiket bernilai RM79.2juta disita dan daripada jumlah itu aset bernilai RM9 juta berjaya dilucuthak,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata dalam tempoh sama seramai 997 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.


Noorsiah berkata PDRM terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-208 7222.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post