Polis Sibu tahan lelaki miliki ketamin lebih RM80,000



SIBU— Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 576.20 gram dadah jenis ketamin dianggarkan bernilai RM86,430 di Jalan Tiong Hua di sini malam tadi.


Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata semasa ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira 10.30 malam, sebanyak lima paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki ketamin seberat kira-kira 6.20 gram dibawa suspek berusia 43 tahun itu. 


Suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah rumah dan pemeriksaan lanjut menemukan 44 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki ketamin dengan anggaran berat 570 gram.


“Suspek seterusnya ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Sibu hari ini.


Zulkipli berkata siasatan setakat ini mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek bergerak bersendirian atau melibatkan individu lain dan punca bekalan dadah tersebut.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post