Polis siasat kes wanita dakwa anak autisme didera guru pusat terapi

Ibu dakwa anak, Anak autisme didera, Guru dera anak, Pusat terapi, Guru terapi, Berita Malaysia
Gambar yang dimuat naik di Facebook oleh ‘Cik Puan Zetty’ menunjukkan kesan lebam di badan anaknya. Gambar Facebook

JOHOR BAHRU—Polis sedang menyiasat kes seorang ibu yang mendakwa anak lelakinya yang menghidap autisme didera guru di sebuah pusat terapi di Skudai di sini seperti tular menerusi media sosial.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata kesemua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.


Beliau berkata semalam, pihaknya mengesan satu hantaran seorang pemilik akaun Facebook ‘Cik Puan Zetty’ berhubung kes berkenaan.


"Hasil semakan mendapati isu yang ditularkan oleh pemilik akaun itu adalah satu kes yang masih dalam proses siasatan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.


"Selepas siasatan awal terhadap pengaduan itu, kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, kanak-kanak itu juga telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, di sini bagi mendapatkan penilaian khusus oleh pakar kanak-kanak terhadap status kesihatannya.


Rupiah berkata polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.


Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Menerusi hantaran itu, wanita tersebut mendakwa anaknya dimasukkan ke sebuah pusat terapi di sebuah institut pengajian tinggi di Skudai sejak November 2019 dan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 7 Julai lepas.


Wanita itu mendakwa anaknya yang berusia enam tahun telah didera oleh guru terapi sehingga mengalami kesan lebam di bahu kiri yang berbentuk jari selain kesan cubitan di dada.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.