Polis masih siasat punca sebenar kes bunuh isteri, bayi


KLUANG—Polis masih menyiasat punca sebenar kes seorang lelaki disyaki membunuh isteri dan bayinya yang berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam.


Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata permohonan reman terhadap tukang cuci kapal berumur 24 tahun itu sudah dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


"Kita akan ketahui juga motif sebenar kes ini kerana suspek telah ditahan reman selama tujuh hari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kluang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang hari ini.


Pada majlis itu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng menyerahkan jawatan kepada pemangkunya DSP Abdul Razak Abdullah Sani.


Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata hasil ujian saringan air kencing lelaki itu, yang direman sehingga 11 Julai ini, adalah negatif.


Semalam, polis menahan suspek di kawasan Permas Jaya, Johor Bahru beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka.


Lelaki itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan bogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripadanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post