Notification

×

Iklan

Iklan

Kerajaan pastikan harga barangan keperluan tak beban rakyat, kata PM

| Julai 06, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-06T00:07:19Z


ISTANBUL-- Kerajaan akan memastikan kenaikan harga barangan keperluan asas di pasaran dunia akibat gangguan rantaian bekalan yang disebabkan konflik geopolitik dan perubahan iklim tidak membebankan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya tidak nafikan berlaku kenaikan harga barangan, ini fenomena global. Bukan hanya di Malaysia, bukan hanya di Turkiye tetapi di seluruh dunia… mula-mula kerana pandemik COVID-19 dan kemudian Perang Ukraine-Rusia," katanya pada majlis makan tengah hari bersama rakyat Malaysia yang menetap atau belajar di Turkiye hari ini.

Ismail Sabri, yang tiba pada Selasa untuk lawatan rasmi empat hari ke republik itu, berkata yang membezakan Malaysia dengan kebanyakan negara lain ialah kadar subsidi diberikan kerajaan kini mencecah lebih RM77.7 bilion.

"Sebagai contoh, kadar inflasi di Turkiye sudah mencecah 78 peratus iaitu yang tertinggi dalam tempoh 24 tahun. Malaysia bertuah kerana kerajaan dapat mengekalkan subsidi dan memastikan harga barang tidak naik dan membebankan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata maklum balas yang diterima daripada rakyat Malaysia di Turkiye menunjukkan harga keperluan barang asas naik mendadak dan tiada subsidi kecuali untuk roti.

"Ramai yang menggambarkan kehidupan di Turkiye semakin hari semakin mencabar terutama golongan pelajar. Harga makanan naik setiap minggu atau dua minggu sekali," katanya.

Beliau berkata di Malaysia pula, kerajaan terus mengekalkan subsidi untuk barangan seperti ayam, minyak masak, petrol dan diesel.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga mengekalkan tarif elektrik dan air demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia dengan menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan penjanaan lain.

Katanya bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40 turut diberikan.

Seramai 8.6 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia menerima bayaran membabitkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion secara berperingkat mulai 27 Jun lepas dan sehingga kini, lapan juta orang atau 93 peratus telah menerima bayaran.

-- BERNAMA
×
Berita Terbaru Update