Pewartaan harga maksimum minyak masak ambil kira kepentingan industri, kebajikan pengguna

Gambar arkib

PUTRAJAYA— Pewartaan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol akan dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan pihak industri serta kebajikan pengguna, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.


“Kita buat ini (pewartaan) untuk jaga kedua-dua pihak (industri dan pengguna), kita tidak mahu peniaga tertekan dan merajuk… ini lagi susah. Selain itu, kita tidak mahu pengguna teraniaya.


"Semuanya kena seimbang iaitu peniaga perlu berniaga dengan berhemah serta berwibawa dan pengguna juga perlu bijak,” katanya selepas majlis Prapelancaran Cabutan Bertuah “Belanja dan Menang” Program Jualan Malaysia (PJM) 2022 di sini hari ini.


Semalam,  Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa mengumumkan kerajaan akan mewartakan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol, bagi memastikan produk itu mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.


Annuar berkata langkah itu diambil setelah rundingan untuk menurunkan harga minyak dengan pihak industri terbabit tidak efektif, walaupun harga minyak sawit dunia telah turun.


Semasa ditanya apa alasan utama pihak industri tidak menurunkan harga minyak masak tulen, Rosol berkata antara alasan yang diberi adalah kerana mereka masih mempunyai stok lama.


“Kajian dapati ada berlaku penurunan (harga minyak) di beberapa negeri seperti Kedah dan Perak tetapi ia tidak secara keseluruhan,” katanya.


Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi membolehkan pewartaan harga maksimum itu dilaksanakan.


Mengenai program Cabutan Bertuah “Belanja dan Menang” PJM 2022,  Rosol berkata program yang akan bermula 1 Ogos hingga 31 Dis serta menawarkan hadiah utama kereta Proton X50, dijangka menerima lebih satu juta penyertaan daripada Keluarga Malaysia.


Program itu layak disertai warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan membuat pembelian minimum RM100 dalam satu resit dan mengemukakan penyertaan melalui pautan di aplikasi mudah alih MySales Tracker yang dibangunkan oleh KPDNHEP. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post