Penganggur dakwa tikam ibu selepas terdengar 'bisikan'



MELAKA— Seorang penganggur bertindak menikam ibu kandungnya yang berusia 63 tahun di rumah mereka di Kampung Paya Luboh, Tanjung Kling di sini hari ini selepas mendakwa terdengar 'bisikan' bahawa wanita itu memuja berhala.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata mangsa, Rozizah Md Dom, yang merupakan pesara guru, maut di tempat kejadian selepas ditikam di bahagian kiri dan kanan lehernya oleh suspek menggunakan pisau pemotong sayur dalam insiden pada kira-kira 3.05 petang.   

"Siasatan awal mengetahui suspek, yang merupakan anak sulung mangsa, terdengar bisikan yang menyuruhnya menikam warga emas itu yang dikatakan menyembah berhala… Kejadian berlaku di bilik ibunya yang baru selesai mandi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau mengatakan insiden itu disedari oleh jiran mereka selepas terdengar jeritan seorang anak perempuan mangsa yang berumur 30-an sebelum kejadian tersebut dilaporkan kepada polis.

Zainol berkata tiada sebarang pergelutan berlaku ketika suspek ditangkap di tempat kejadian.

Beliau berkata suspek sebelum ini pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Melaka beberapa tahun lepas dan memiliki dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Katanya ujian air kencing akan dilakukan ke atas suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post