Pembersihan tanah di cerun berisiko, menara pencawang elektrik mungkin runtuh sebabkan gangguan elektrik

Gambar kredit SEB

KUCHING— Sarawak Energy Bhd (SEB) menggesa individu atau entiti terutamanya pemilik ladang dan kontraktor untuk memaklumkan syarikat itu sebelum meneruskan kerja berhampiran menara penghantaran elektriknya.


SEB dalam kenyataan di sini berkata kerja-kerja tanah atau kerja-kerja pembersihan yang tidak betul dan tidak dirancang berhampiran menara penghantarannya boleh menjejaskan kestabilan cerun yang mengelilingi asas menara berkenaan.



“Apabila tidak diperiksa dan dalam senario terburuk, keseluruhan menara elektrik mungkin runtuh, menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang besar di Sarawak,” katanya.


Cabang utilitinya, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat SESCO Berhad Lau Kim Swee dalam kenyataan sama berkata SESCO telah menyaksikan peningkatan jumlah insiden sedemikian dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membaiki, membetulkan dan melindungi cerun yang terjejas.


“Memaklumkan kepada kami akan membolehkan kami menyediakan langkah-langkah kontingensi dan menjalankan kerja-kerja yang diperlukan untuk melindungi menara kami dan cerun berhampiran.


“Kami berterima kasih kepada mereka yang telah memaklumkan kami dan bekerjasama dengan kami sebelum memulakan kerja-kerja membersihkan tanah mereka, membantu kami mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Pada akhirnya kami mahu menyediakan bekalan elektrik yang selamat, berpatutan dan boleh dipercayai untuk semua rakyat Sarawak,” katanya.


Di bawah Seksyen 33(9) Ordinan Elektrik, mereka yang bersalah dengan sengaja atau cuai menyebabkan terjatuh atau merosakkan mana-mana talian bekalan elektrik akan didenda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Pemilik perniagaan atau pemilik tanah dan kontraktor boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam Sarawak Energy di 1300-88-3111 atau e-mel customercare@sarawakenergy.com sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan tanah.


Individu yang melaporkan aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik Sarawak Energy juga boleh berbuat demikian melalui saluran ini.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post