Maybank naikkan kadar asas, BLR sebanyak 25 mata


KUALA LUMPUR— Malayan Banking Bhd (Maybank) akan melaras naik Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 8 Julai ini, berikutan pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini.


Dalam satu kenyataan, bank itu berkata kadar Asas (BR) akan dinaikkan daripada 2.00 peratus setahun kepada 2.25 peratus setahun manakala kadar BLR akan dilaras daripada 5.65 peratus setahun kepada 5.90 peratus setahun.


Begitu juga, Maybank berkata Kadar Asas Islam dan Kadar Pembiayaan Asas akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas masing-masing daripada 2.00 peratus setahun kepada 2.25 peratus setahun dan daripada 5.65 peratus setahun kepada 5.90 peratus setahun.


Sehubungan dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 8 Julai ini.


“Semakan terakhir dalam Kadar Asas Maybank adalah pada 13 Mei 2022 apabila ia dinaikkan daripada 1.75 peratus setahun kepada 2.00 peratus setahun berikutan kenaikan OPR dengan kuantum yang sama,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post