Lelaki maut terkena tembakan senapang patah dibawa rakan


KUALA LUMPUR—Seorang lelaki tempatan maut dipercayai terkena tembakan daripada selaras senapang patah yang dibawa rakannya di kebun durian berhampiran Sungai Gabai di Hulu Langat, pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.15 pagi dan siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 32 tahun pergi ke kawasan itu  bersama tiga rakannya.


“Semasa dalam perjalanan, seorang rakan si mati yang membawa senjata api (iaitu senapang patah) telah tergelincir di lereng bukit dan senapang yang dipegangnya terpelanting dari tangan serta berlaku tembakan. 


“Mangsa yang berada di belakang dalam jarak lebih kurang tiga meter telah terkena tembakan tersebut dan disahkan mati di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama.


Mohd Zaid berkata terdapat beberapa kesan tembakan peluru dipercayai daripada senjata api itu pada badan mangsa.


Katanya senapang itu dilesenkan atas nama bapa saudara salah seorang rakan mangsa dan ketiga-tiga mereka, berumur lingkungan 36 hinga 43 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.


Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan balai polis terdekat atau pegawai penyiasat ASP Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.