Lelaki maut terperosok bawah forklift

Gambar hiasan

BINTULU—Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah trak forklift semasa sedang bertugas menjalankan rutin kerja harian di sebuah kilang besi di Bintulu pada pagi Ahad.


Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan berkata, dalam insiden yang berlaku pada jam 6.30 pagi itu, mangsa yang merupakan salah seorang pekerja kilang berkenaan sedang menjalankan pemeriksaan billet casting di Cast House Production Area.


Bagaimanapun katanya, semasa berjalan menuju ke arah billet casting, mangsa telah dilanggar oleh forklift yang dipandu oleh seorang lagi pekerja kilang dari arah belakang.


"Impak dari insiden ini telah menyebabkan mangsa terjatuh lalu terperosok ke bawah trak forklift tersebut," ujar beliau.


Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan kecemasan di Bintulu Medical Centre dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.


Ekoran dari insiden ini katanya, sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Sarawak Cawangan Bintulu melakukan siasatan ke lokasi insiden termasuk bertindak menghentikan operasi jentera yang terlibat dalam insiden maut itu sementara menunggu keputusan siasatan selanjutnya.


Kes ini akan disiasat di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.


"Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya dikesan terdapat pelanggaran di bawah akta yang dinyatakan bagi kes insiden ini," tegas beliau.

Next Post Previous Post