KPDNHEP Sri Aman menyamar jadi pelanggan, bongkar penyelewengan penjualan minyak masak paket


SRI AMAN-- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman mengambil tindakan ke atas sebuah premis kedai runcit di sini selepas didapati menjual minyak masak paket 1 kilogram (kg) melebihi had maksimum jualan kepada pelanggan dalam satu transaksi.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak berkata, kejayaan itu menerusi penyamaran yang dilakukan ekoran daripada aduan awam.


"Ketika serbuan dilakukan, seorang pegawai KPDNHEP kita menyamar sebagai pelanggan dengan berpakaian preman untuk membeli minyak masak peket tersebut dan ketika itu, minyak berkenaan tiada stok," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.


Jelasnya lagi, pemeriksaan lanjut pasukan operasi terhadap resit jualan premis mendapati ada penjualan pada 26 Julai melebihi tiga paket iaitu jualan sebanyak 17 paket (1 kotak) pada sekali jualan dalam satu transaksi di mana ia telah melanggar arahan Pengawal Bekalan, Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.


"Premis ini juga gagal mematuhi arahan Pengawal berhubung kawalan penjualan minyak masak polibeg 1kg sebanyak 3 paket per transaksi bertarikh 21 Julai 2022. Bukti awal diperolehi melalui resit jualan yang disita dari premis seperti lesen CSA, invois jualan dan invois pembekal," ujar Al Redzamani.


Beliau memberitahu, serbuan itu dilakukan susulan aduan dan maklum balas pengguna di media sosial KPDNHEP berhubung kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak paket sekilogram di kawasan mereka.


Beliau berkata setiap pengguna hanya dibenarkan membeli tiga paket minyak itu dan peniaga atau peruncit perlu memastikan had yang ditetapkan tidak dilanggar.


"Pendekatan ini akan diteruskan di seluruh Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong bagi memastikan setiap isi rumah mampu mendapatkan minyak masak bersubsidi itu.


"Pemborong serta peruncit yang menjual barang kawalan hendaklah sentiasa mematuhi arahan pengawal bekalan yang telah dikeluarkan atau berdepan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan," tegasnya.


Tambahnya, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Manakala bagi syarikat pula katanya,  sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 5,000,000. 


"Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak paket 1kg ini bagi memastikan aktiviti tidak bertanggungjawab ini ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara," ujarnya.


Justeru, tegasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan minyak diesel bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut, WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 atau Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Next Post Previous Post