Konon jual guni, lelaki kantoi jual minyak masak tanpa permit

Sebuah premis di Port Dickson diserbu KPDHNEP pada Jumaat lepas kerana menjual minyak tanpa permit. Gambar kredit Sinar Harian

SEREMBAN— Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak melebihi had  dibenarkan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Port Dickson, dekat sini, pada Jumaat lepas.


Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata pihaknya merampas sejumlah 44 kotak minyak masak botol 5 kilogram (kg) berisi 176 botol bersama beberapa dokumen perniagaan lain dengan keseluruhan rampasan bernilai RM7,920.


Beliau berkata ketika serbuan pada 6 petang, seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 60-an yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan memaklumkan bahawa perniagaan dijalankan adalah menjual guni dan memproses makanan.


"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pihak premis telah gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti dari mana punca bekalan minyak masak ini diperoleh selain menyiasat tujuan sebenar minyak masak ini disimpan dalam kuantiti melebihi daripada had dibenarkan tanpa permit.


Katanya kes turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).


"Pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post