-->

Notification

×

Iklan

Iklan

KKM pertimbang keluar notis kompaun jika kes Covid-19 terus meningkat

| Julai 08, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-08T11:43:29Z

KUALA LUMPUR-- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk menguatkuasa semula pengeluaran kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sekiranya kes COVID-19 di negara ini terus meningkat.


Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata ini susulan kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) membendung jangkitan COVID-19 dilihat semakin longgar terutama pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup.


“Ramai sudah mula tak pakai pelitup muka namun diingatkan bahawa ia masih wajib di kawasan tertutup cuma sejak 17 April lepas, kita tidak lagi keluarkan notis kompaun sebab KKM pada waktu itu membuat keputusan selari dengan Fasa Peralihan ke Endemik dengan mengutamakan pemerkasaan komuniti dan tanggungjawab individu.


“Namun sekiranya kes terus meningkat dan kadar kes mendadak, KKM tidak menolak untuk menguatkuasakan semula Akta 342 terutama kepada mereka yang enggan memakai pelitup muka di kawasan tertutup,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.


Sejajar dengan fasa peralihan ke endemik mulai 1 April lalu, imbasan kod QR My Sejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam dan pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan mulai 1 Mei lalu.


Menerusi Akta 342, individu yang didapati bersalah melanggar peraturan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.         


Justeru, Khairy menyeru semua rakyat Malaysia untuk patuh SOP terutama pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup serta awam kerana ia merupakan langkah berkesan untuk mengurangkan jangkitan COVID-19.


Ditanya sama ada KKM telah menentukan nilai ambang jangkitan COVID-19 untuk notis kompaun itu dikuat kuasa semula, Khairy berkata perkara itu belum diputuskan.


“Kita di KKM pun tak nak ke belakang, sekarang ini kita dah gugurkan agensi-agensi lain daripada Akta 342…KKM sahaja yang tinggal untuk mengeluarkan notis (kompaun) pelitup muka dan sebagainya.


“Sebab dalam Fasa Peralihan ke Endemik, semua agensi lain terutama polis minta supaya tidak lagi diturunkan kuasa (keluarkan notis kompaun Akta 342) sebab mereka ada banyak kerja lain, jadi KKM pun setuju,” tambahnya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update