Kerajaan Sarawak akan memastikan projek Jejambat Batu 6 dan Batu 7 disiapkan mengikut jadual


KUCHING: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan akan memantau pelaksanaan projek Jejambat Batu 6 dan Batu 7 bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual.


Jaminan tersebut disuarakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di tapak projek Jejambat Batu 6 di kawasan letak kereta Farley Supermarket Kuching di sini, hari ini. 



Sehubungan itu, beliau berharap agar Jejambat Batu 6 dapat disiapkan mengikut jadual seperti yang dijanjikan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu pada hujung Julai ini. 



“Sementara bagi Jejambat Batu 7 pula dapat disiapkan pada 25 Julai 2022.


“Saya akan memantau projek ini setiap hari untuk melihat kemajuan projek selain memastikan ia disiapkan mengikut jadual,” katanya.



Selain itu katanya, kementeriannya juga akan melakukan pemantauan terhadap pelaksanaan projek yang sedang dijalankan khususnya projek berimpak tinggi di negeri ini.



“Pemantauan jadual projek penting bagi menyediakan kemudahan serta membantu pertumbuhan ekonomi untuk mencapai sasaran kerajaan dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).




“Untuk itu, kami turun padang kerana di Sarawak terdapat beberapa projek tertangguh sehingga segelintir projek dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.


“Kami juga dapat membuat penilaian ke atas kapasiti kontraktor sama ada mereka boleh menyiapkan projek mengikut jadual serta memastikan kontraktor mematuhi sasaran keperluan kuasa utama, bahan dan lain-lain,” katanya.




Dalam perkembangan lain, Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, kementerian berkaitan sedang meneliti inisiatif untuk menangani isu pembekuan pekerja dari Indonesia.


Katanya, ia berikutan isu tersebut bukan sahaja menjejaskan industri pembinaan, malah turut menjejaskan industri perladangan. 



“Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kementerian saya juga sedang mencari cara untuk menyelesaikan isu ini. Bagaimanapun untuk projek Jejambat Batu 6 dan Batu 7 ini, tiada masalah,” katanya.


Berhubung langkah penjimatan perbelanjaan awam yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, Uggah berkata ia tidak menjejaskan pelaksanaan projek di Sarawak.



Ini kerana, rata-rata pelaksanaan projek di Sarawak menggunakan dana perbelanjaan Kerajaan Sarawak sendiri, katanya.


“Sehubungan itu, apa-apa dasar yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan tidak menjejaskan negeri ini,” kata beliau lagi.

Next Post Previous Post