Kedai makan jual rokok, mercun tanpa cukai diserbu

Sebahagian mercun dan rokok yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah kedai makan di Jalan Bau - Kuching. Gambar PDRM

BAU—Padah memiliki pelbagai jenis rokok dan mercun yang disyaki tidak lulus cukai, sebuah kedai makan di Jalan Bau-Kuching, di sini diserbu pihak polis petang semalam.


Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah(BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bau dalam Op Kontraban 2.15 petang.


Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, dalam serbuan itu pihaknya membuat pemeriksaan ke atas kedai berkenaan.



"Hasil pemeriksaan di bahagian belakang dalam kedai telah menjumpai pelbagai jenis rokok dan mercun yang disyaki tidak lulus cukai," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, penjaga premis lelaki berusia 29 tahun telah berjaya ditangkap.


"Suspek dibawa ke IPD Bau berserta rampasan untuk tindakan lanjut.


"Barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk dianalisa," ujarnya.


Poge berkata, berdasarkan semakan suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," tegasnya.

Next Post Previous Post