Jumlah kelahiran bayi di Sarawak menurun 50 peratus, Dr Sim

Gambar hiasan kredit Christian Bowen via unsplash

KUCHING—Jumlah kelahiran bayi di Sarawak berkurangan daripada kebiasaan pada 2021 apabila hanya 20,000 bayi direkodkan berbanding kira-kira 40,000 orang bagi tahun-tahun sebelumnya.


Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata punca penurunan jumlah kelahiran mungkin berlaku ekoran pembangunan semula jadi, tahap pendidikan yang semakin meningkat, komuniti dan tekanan kerja.


“Meskipun kerajaan negeri memberikan insentif (kepada pasangan berkahwin untuk memiliki anak), ia bukan semudah itu,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari Sunway serta Pusat Kesuburan Sunway di sini hari ini.


Insentif yang dirujuk beliau adalah Dana Pembiayaan Sarawak yang memperuntuk RM1,000 bagi setiap bayi yang dilahirkan dan Bantuan Ibu Bersalin sebanyak RM450 sejak 2017. 


Dr Sim turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Kumpulan Sunway untuk memulakan operasi pusat kesuburan di Sarawak iaitu yang kedua seumpamanya di negara ini yang boleh membantu mengatasi isu penurunan jumlah kelahiran bayi di negeri itu.


"Terdapat sekumpulan kecil (pasangan berkahwin) yang berdepan masalah kesuburan serta memerlukan rawatan (sama ada) secara saintifik seperti perubatan barat atau kaedah tradisional dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sunway atas komitmen dan sokongan anda kepada Sarawak,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.