Jenazah Hamzah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang


KUCHING-- Jenazah rakyat Sarawak yang meninggal di Sungai Buluh, Selangor pada Khamis lalu, Hamzah Simatupang, 41, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Petra Jaya di sini pagi tadi.


Jenazah Hamzah yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 pagi tadi, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 9.30 pagi sebelum dibawa ke Masjid Kampung Samariang Batu di sini untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.



Urusan pengebumian jenazah Allahyarham diuruskan ahli keluarganya di sini.


Sementara itu, adik Allahyarham, Hafizatul Simatupang ketika ditemui selepas majlis pengebumian mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya, Rumah Sarawak, Sarawak Viral News dan saudara mara yang terlibat dalam melancarkan proses pengebumian Allahyarham di sini.



"Saya mewakili pihak keluarga Allahyarham ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham di sini.


"Saya dan keluarga juga mengucapkan terima kasih kepada Rumah Sarawak dan Sarawak Viral News serta anak saudara yang berada di Kuala Lumpur kerana banyak membantu memudahkan kami membawa pulang jenazah ke Sarawak untuk dikebumikan di sini," katanya.



Tambahnya, pada masa ini pihak keluarga Allahyarham dan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses dokumentasi tiga anak Allahyarham untuk dibawa pulang ke Sarawak.


"Kami berharap proses membawa pulang ketiga-tiga anak Allahyarham dipermudahkan kerana tiada keluarga yang menjaga mereka di sana (Kuala Lumpur)," ujarnya.



Semalam, pegawai Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL) berkata, urusan anak-anaknya masih dalam proses dokumentasi dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan JKM Sarawak.


Dalam pada itu, bantuan kewangan dan makanan telah diserahkan oleh wakil PPSKL kepada anak-anak arwah pagi tadi, ujar beliau lagi.



Sebelum ini, allahyarham, Hamzah Simatupang, 41, dilaporkan meninggal dunia semalam akibat serangan jantung ketika sedang membanting tulang mencari rezeki buat tiga anak-anaknya.


Perkara itu didedahkan oleh anak saudara allahyarham, Jamilia Sulaiman ketika dihubungi Sarawak Viral News semalam.


"Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan ketiga-tiga mereka tiada waris yang dapat menjaga di Selangor memandangkan ibunya telah meninggal dunia tahun lepas," katanya.

Next Post Previous Post