Guna Lesen L tapi sertai konvoi motosikal kuasa tinggi

Guna Lesen L, Konvoi motosikal, Sarawak Update
Aedy Fadly Ramli (dua kiri) memeriksa sebahagian motosikal semasa Op Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong di sini hari ini. Gambar kredit JPJ

BENTONG—Segelintir penunggang motosikal berkuasa tinggi dikesan menggunakan lesen percubaan (Lesen L) untuk tempoh yang lama termasuk bagi tujuan berkonvoi.


Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata ketika diperiksa mereka didapati tidak pernah memperbaharui kepada lesen penuh (Kelas B).


“Terdapat juga mereka (penunggang motosikal berkuasa tinggi) ini yang tidak mempunyai kedua-dua lesen (Lesen L dan Kelas B) dan sepatutnya tidak boleh menunggang motosikal berkapasiti melebihi 250cc,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Op Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong di sini hari ini.


Katanya mereka dinasihatkan supaya segera mendapatkan lesen Kelas B bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang. 


Dalam pada itu, beliau berkata lebih 3,000 motosikal telah diperiksa dengan 796 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut yang bermula pukul 8 pagi. 


“Kesalahan paling tinggi dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu dan tidak ada cukai jalan yang sah,” katanya.


Sementara itu, menurutnya sejak 2018 hingga Jun 2022 sebanyak 3.7 juta motosikal diperiksa dan 1.3 juta motosikal diambil tindakan oleh pihak JPJ.


“Antara kesalahan tertinggi direkodkan tiada lesen memandu iaitu sebanyak 471,665 kesalahan, lesen kenderaan motor (313,174) dan tiada perlindungan insurans (299,772),” katanya.


Aedy Fadly turut menegaskan tindakan termasuk penyitaan kenderaan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikuatkuasakan ke atas mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya.  


Katanya JPJ juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya serta jalan Persekutuan dan negeri dari semasa ke semasa dalam usaha menangani kegiatan lumba haram serta menunggang secara berbahaya.


-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar