-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Enam lelaki direman bantu siasatan kes bakar remaja lelaki

| Julai 24, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-24T11:10:57Z

KUALA TERENGGANU— Enam lelaki direman selama lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes seorang remaja yang melecur dipercayai dibakar beberapa rakannya di Kemaman, Jumaat lepas.


Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret Kemaman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata semua suspek berusia 18 hingga 28 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di daerah Kemaman pada Jumaat dan Sabtu (semalam).


"Tiga suspek yang ditahan merupakan pekerja kilang, tiga lagi penganggur dan siasatan awal mendapati seorang daripada suspek berusia 28 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dadah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Media semalam melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mendakwa dibakar rakan-rakannya selepas dituduh mencuri wang RM100 dalam kejadian kira-kira 3 pagi di Kampung Perasing Jaya, Jabor di Kemaman.


Difahamkan remaja terbabit yang sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang kini berada dalam keadaan stabil walaupun melecur hampir 40 peratus pada bahagian leher hingga belakang badan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update