Enam anak Sarawak masih terkandas di Kemboja, diperdaya sindiket pekerjaan


KUCHING-- Enam rakyat Sarawak yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaaan masih lagi terkandas di Kemboja.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, enam mangsa merupakan antara lapan rakyat Sarawak yang terpedaya dan menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.


"Dua daripada lapan mangsa telah berjaya dibawa pulang ke Sarawak manakala enam lagi masih belum dibawa balik," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi Julai 2022, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.


Mohd Azman memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis dan ia turut mendapat bantuan daripada Bukit Aman.


Tambah beliau, pihaknya juga masih menunggu perkembangan selanjutnya.


"Ini kerana sebelum ini ada laporan mengatakan warganegara di sana telah balik ke Malaysia dan ada satu kes melibatkan rakyat Sarawak sudah balik ke sini," jelasnya.


Sehubungan itu, beliau saya berharap agar masyarakat sentiasa berhati-hati dalam melayari iklan mengenai pekerjaan yang tidak wujud dengan menawarkan gaji yang tinggi.


Tegasnya, kes jenayah komersil melibatkan mangsa paling ramai antaranya ialah tawaran pekerjaan iaitu sebanyak 119 kes melibatkan kerugian RM1.5 juta pada Januari hingga Jun tahun ini. 


"Ia termasuk penipuan pekerjaan dalam negara seperi Shopee, Lazada dan sebagainya," katanya.


Terdahulu, beliau memberitahu, jenayah komersil pada Januari hingga Jun tahun ini menunjukkan penurunan iaitu 1,278 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,451 kes.


Jumlah kes itu melibatkan kerugian sebanyak RM36 juta membabitkan kes jenayah komersil kategori internet sebanyak RM1.3 juta, menyamar (RM3.6 juta), tawar pekerjaan (RM1.5 juta), macau scam (RM8 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM1.4 juta).

Next Post Previous Post