Empat maut nahas tujuh kenderaan di Ipoh

Kesemua mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Gambar kredit Facebook

IPOH—Empat termasuk tiga wanita maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan enam kereta dan sebuah treler di KM277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini petang tadi.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata anggota yang dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.02 petang mendapati empat mangsa tersepit iaitu seorang lelaki dan tiga wanita.


“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya telah mengeluarkan kesemua mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan," katanya dalam kenyataan.


Jurucakap itu berkata pihaknya menyerahkan kesemua mangsa kepada polis dan operasi tamat pada 4.16 petang.


Tinjauan Bernama mendapati kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan kira-kira lima kilometer di lokasi kejadian.


Sementara itu, Plustrafik dalam ciapan di Twitter melaporkan kemalangan itu telah mengakibatkan kesemua lorong terhalang dan trafik tidak bergerak sepanjang tujuh kilometer, namun kembali lancar kira-kira 5 petang.


Sementara itu jurucakap JBPM malam ini memaklumkan kesemua mangsa dikenali sebagai Rahim Ramli, 60, seorang pesara polis, seorang wanita dipercayai isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuannya, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.


Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam satu pesanan ringkas memaklumkan, kenyataan media akan dikeluarkan selepas ini.


Bernama difahamkan bahawa kesemua jenazah akan dibawa ke Permatang Pasir, Pulau Pinang malam ini untuk dikebumikan.


Jenazah empat beranak itu telah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini kira-kira pukul 11.30 malam, selepas proses bedah siasat selesai.


Kira-kira 10 orang individu dipercayai anggota keluarga mangsa, dilihat berada kawasan tersebut ketika proses pengecaman jenazah.


Kumpulan itu juga melakukan solat jenazah di perkarangan jabatan berkenaan, sebelum kesemua jenazah dibawa menaiki van.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post