Dasar penjimatan: Sarawak masih mampu teruskan projek yang dirancang, kata Abang Johari

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Gambar arkib

KUCHING—Kerajaan Sarawak akan tetap meneruskan projek-projek pembangunan yang sudah dirancangnya untuk kepentingan ekonomi dan rakyat negeri ini, biarpun kerajaan pusat mengambil langkah penjimatan seperti yang diumumkan dalam satu Pekeliling Perbendaharaan baru-baru ini.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata setakat ini beliau belum dapat menjangka secara terperinci kesan dasar baru penjimatan persekutuan itu, tetapi secara makronya ia tidak akan menjejaskan perancangan pembangunan negeri.


“Bukan kata kita tidak berjimat, cuma kita rasa kemampuan kita ada. (Perancangan) sudah dirangka dan peruntukan sudah tersedia, kita teruskan. Kalau tidak, ekonomi akan merudum. Orang akan hilang kerja. Untuk Sarawak kita teruskan, jambatan, RTP (Program Transformasi Luar Bandar) semua jalan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak sempena Sambutan Jubli Perak Jabatan Mufti Negeri Sarawak yang diadakan di sini hari ini.


Pekeliling Perbendaharaan berhubung Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam bertarikh 14 Julai itu menyebut kementerian, jabatan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan hendaklah meneruskan proses praperolehan yang tiada implikasi kewangan seperti perancangan, membuat reka bentuk, kebenaran merancang, menyelesaikan urusan berkaitan tanah/tapak projek dan sebagainya.


Dalam pekeliling itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon berkata selaras dengan hasrat kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan bagi semua projek yang sedang dalam pelaksanaan, kementerian/jabatan/agensi hendaklah memantau secara rapi kemajuan projek agar ia siap dalam tempoh ditetapkan.


Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan pimpinannya akan mengambil kira kemampuan kewangan negeri terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan sekiranya ada menerima sebarang permintaan dari kerajaan pusat untuk membantu meneruskan apa-apa projek persekutuan di Sarawak yang terjejas ekoran pelaksanaan dasar itu.


Katanya formula tertentu perlu diikuti dalam menilai bantuan yang akan diberikan untuk meneruskan sesuatu projek persekutuan yang terjejas itu, selain mempertimbangkan model pembayaran balik dan tahap manfaat projek berkenaan kepada rakyat.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post