Daftar motosikal, tapi pandu Toyota Camry

Superintendan Batholomew Umpit. Gambar Facebook Rasmi PDRM Bintulu

BINTULU—Polis menahan seorang remaja lelaki tempatan kerana memandu kereta dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu, di Jalan Sultan Iskandar, di sini tengah hari semalam.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, remaja itu yang memandu kereta jenia Toyota Camry ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) IPD Bintulu dalam satu operasi pada 12 tengah hari.


“Semakan menggunakan peranti MCOPS PDRM mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang beralamat di Johor. 


"Sejurus itu, suspek telah ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.


Menurut Batholomew, jika didapati bersalah, suspek berhadapan dengan hukuman denda tidak lebih dari RM5,000 atau penjara tidak lebih dari setahun atau kedua-duanya sekali.


Katanya, tangkapan ini merupakan salah satu usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi dan mencegah aktiviti jenayah di sini.


Beliau turut menasihatkan orang ramai segera  menghubungi atau memaklumkan kepada balai polis berdekatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah yang berlaku sekitar mereka dengan menghubungi talian 086-318304.

Next Post Previous Post