Caj bilik dalam USD dapat kurangkan persaingan antara hotel bajet dan hotel mewah

Persaingan hotel bajet, hotel mewah, hotel bajet, hotel mewah, hotel malaysia, berita malaysia
Gambar hiasan kredit Unsplash

KUALA LUMPUR—Cadangan untuk menyelaraskan kadar bilik hotel dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) akan dapat mengurangkan persaingan harga antara hotel bajet dan hotel bertaraf empat atau lima bintang.


Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel berkata cadangan itu juga secara tidak langsung akan meningkatkan reputasi industri perhotelan negara di mata dunia dan pelancong asing.


“Kita sebagai pengusaha hotel bajet bersetuju dengan saranan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) kerana ia akan secara automatik mengurangkan ‘perang harga’ antara hotel bajet, hotel empat dan lima bintang.


“Sekarang ini kami kena bersaing dengan hotel-hotel tersebut sebab harga lebih kurang sama. Kami tidak boleh menaikkan harga kerana jika dinaikkan, pelancong akan lebih memilih untuk menginap di hotel bajet,” katanya kepada Bernama.


Ganesh mengulas kenyataan Setiausaha Agung MAH Datuk Megat Shahrul Azman Abas mengenai hasrat persatuan itu untuk menyelaraskan kadar bilik dalam mata wang USD seperti negara serantau lain yang dilaporkan media, Isnin lepas.


Untuk merealisasikan perkara itu, Ganesh menyarankan agar kerajaan melaksanakan pendekatan sistem dua harga penginapan hotel untuk membezakan kadar bayaran antara warganegara dan pelancong asing.


Menurut beliau mekanisme tersebut jika dilaksanakan akan dapat membantu sektor perhotelan negara kekal berdaya saing dengan negara serantau selain membantu menjana pendapatan industri perhotelan.


“Kerajaan harus mengambil inisiatif dalam menyelesaikan ancaman dalam industri perhotelan seperti menggubal suatu akta bagi mengawal selia agensi pelancongan dalam talian (OTA) dan menguatkuasakan Garis Panduan Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA) dalam memastikan kelangsungan industri perhotelan,” katanya.


Menjelas lanjut, beliau berkata antara yang perlu dilakukan kerajaan ialah mewujudkan mekanisme ataupun suatu sistem seperti portal pelancongan dalam talian khas untuk rakyat Malaysia bagi urusan seperti tempahan hotel pada kadar khas.


“Bila ada portal sendiri yang dikawal selia oleh kerajaan dan undang-undang, kita boleh dapat statistik yang lebih tepat berbanding bergantung pada portal luar negara ketika ini,” katanya menambah mekanisme tersebut telah diguna pakai di luar negara seperti China.


 “Di China ada Ctrip hanya boleh digunakan oleh rakyat (pelancong domestik), orang luar tak boleh guna. Untuk pelancong asing, mereka kena guna Trip.com. Harga di antara dua portal ini jauh berbeza,” katanya.


Sementara itu Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) Shaharuddin M. Saaid berkata cadangan itu akan dapat meningkatkan martabat dan kepercayaan pelancong asing terhadap industri perhotelan di Malaysia selain menambah pendapatan operator hotel.


“Harga bilik di Malaysia untuk hotel taraf empat atau lima bintang dalam mata wang Ringgit Malaysia (RM) terlalu rendah jika ditukarkan ke USD. Hotel bertaraf sama di New York atau Singapura, harga bilik sekurangnya-kurangnya USD400. Tapi di Malaysia, tak sampai USD100 jika ditukarkan nilainya dari RM. Ia tidak melambangkan status hotel bertaraf lima bintang.


“Jadi kita kena selaraskan harga supaya ia mencerminkan bahawa hotel itu bertaraf lima bintang, setaraf dengan hotel-hotel lima bintang di luar negara,” katanya.


Shaharuddin berkata melalui pendapatan yang meningkat, ia akan memanfaatkan para pekerja perhotelan sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan.


“Jika kita boleh dapat pendapatan yang lebih tinggi, kita berupaya untuk menawarkan gaji yang lebih baik kepada pekerja-pekerja selain memberikan latihan yang diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.


Bagi pengusaha inap desa, Mastura Malak, 32, beliau mengakui bahawa mengenakan caj bilik dalam USD akan menarik lebih ramai pelancong, namun beliau berharap operator perhotelan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya termasuk kepada pelancong domestik.


“Sekarang ekonomi tidak menentu, jadi lebih elok sekiranya dikekalkan harga yang ada. Tidak perlu naikkan harga dengan mendadak,” katanya yang mengusahakan homestay di Temerloh dan Desaru.


Media semalam melaporkan Megat Shahrul Azman berkata sekiranya kerajaan dapat menyokong hasrat MAH untuk menyelaraskan kadar bilik dalam mata wang USD, ia akan dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negara ini.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.