Budak tiga tahun ditemukan lemas, bayi 18 bulan masih hilang

Mangsa ditemukan penduduk kampung dan pasukan SAR dalam parit di kawasan kampung. Gambar kredit DEASOKA

KOTA KINABALU— Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Kuridak Gadong, Beaufort semalam ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas dalam parit di kawasan kampung itu pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Yusoff Zaki berkata mayat Muhammad Qays Izhar Abd Halim  ditemukan penduduk kampung dan pasukan operasi mencari dan menyelamat pada 10.30 pagi, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.


“Kita menerima laporan kehilangan kanak-kanak berkenaan pukul 10.30 pagi semalam dan sejurus selepas itu operasi mencari dan menyelamat membabitkan polis, bomba dan penduduk kampung dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Yusoff berkata mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke unit forensik Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, beliau berkata usaha masih dilakukan untuk mencari seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang dilaporkan hilang di Kampung Batu 66, Beaufort semalam.


“Mangsa dikhuatiri jatuh di sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumah. Usaha pencarian sedang giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post