Buat bising untuk perdaya penghuni rumah sebelum larikan Toyota FJ


KUCHING-- Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota FJ berwarna hitam dengan nombor pendaftaran SAB 9669 B dilarikan pencuri dinihari tadi.


Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, pencuri terbabit dikatakan memecah masuk sebuah rumah di sini, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


Menurut mangsa dalam hantaran Facebooknya, pencuri itu hanya menyasarkan kenderaan Toyota FJ yang dipakir di halaman rumahnya.


Mengulas lanjut kejadian itu, katanya, pencuri terbabit dapat masuk ke rumah mereka kerana abang iparnya tanpa memikir panjang membuka pintu sebaik sahaja mendengar bunyi bising di luar rumah.


Akibat itu, pencuri terbabit memukul abang ipar mangsa dan berjaya masuk ke dalam rumah sebelum mengambil kunci kereta.


Katanya, meskipun terdapat kenderaan pacuan empat roda lain yang dipakir di luar rumah, pencuri terbabit hanya mengambil kunci kereta Toyota FJ dan melarikannya.


Sehubungan itu, mangsa meminta orang ramai yang ada ternampak kereta Toyota FJ berwarna hitam dengan nombor pendaftaran SAB 9669 B menyalurkan maklumat kepada polis atau pihaknya di talian 0168880419.


Tambahnya, diharap kejadian ini menjadi pengajaran kepada orang ramai agar tidak mudah membuka pintu rumah jika terdengar bunyi bising di luar, sebaliknya mengambil langkah berhati-hati supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.

Next Post Previous Post