Bitumen habis stok di Kuching punca utama kelewatan projek Jejambat Batu 6 & 7

Gambar kredit JKR

KUCHING— Kekurangan bitumen atau bahan yang digunakan untuk membuat jalan punca utama kelewatan projek Jejambat Batu 6 dan Jejambat Batu 7, kata Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.


Berikutan itu, katanya, pembukaan kedua-dua lorong (laluan memotong dan perlahan) untuk kedua-dua jejambat berkenaan tertangguh lagi.


Gambar kredit JKR


Jelasnya, bekalan bitumen di Kuching sejak awal bulan Jun mengalami kehabisan stok.


"Pembekal bitumen di Kuching kehabisan stok berikutan penghantaran bekalan bitumen dari Singapura mengalami kelewatan.


"Lebih merumitkan lagi keadaan, salah satu Terminal Minyak Bebas (IOT) di Sejingkat menghadapi kerosakan bulan lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ekoran ini, bekalan bitumen yang ada masa ini adalah terhad kerana permintaan daripada kontraktor projek pembinaan yang lain.


Tambahnya, sementara menunggu bekalan bitumen di Kuching diatasi, pihak kontraktor sedang berusaha mendapatkan bekalan bitumen dari Bintulu.


"Kontraktor komited untuk menyiapkan dan membuka dua lorong (kedua-dua hala) untuk jejambat Batu 7 menjelang 17 Julai 2022 dan membuka semua lorong untuk jejambat Batu 7 menjelang 25 Julai 2022.


"Walaupun menghadapi masalah kekurangan bitumen, kontraktor menyasarkan untuk membuka dua lorong (kedua-dua hala) untuk jejambat Batu 6 pada 15 Julai 2022. 


"Lorong selebihnya akan dibuka pada minggu pertama Ogos 2022," ujarnya lagi.


Pada 1 Jun 2022, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu Jejambat Batu 7 dan Jejambat Batu 6 di sini dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya Ogos depan.

Next Post Previous Post