Warga emas maut motosikal dilanggar kereta ketika keluar simpang

Keadaan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dan kereta di Kilometer (KM) 89, Jalan Kuching-Sri Aman pagi tadi.

SERIAN-- Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta ketika mangsa hendak keluar simpang di Kilometer (KM) 89, Jalan Kuching-Sri Aman.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, mangsa dikenali sebagai Basat Jaba, 72, berasal dari Kampung Bayor Balai Ringin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 



Jelasnya, kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 8.30 pagi melibatkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta yang dipandu seorang polis berusia 32 tahun. 


"Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta bergerak lurus di lorong kiri dari arah Serian menuju ke Sri Aman dan sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang mangsa keluar simpang P-Turn. 


"Akibat jarak terlalu dekat pemandu kereta tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambahnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan paramedik dari Hospital Serian.


Jelas Bingkok, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah mayat Hospital Serian menggunakan kenderaan polis. 


"Kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan telah dibawa dan di simpan di   tempat barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian bagi tindakan selanjutnya," ujarnya. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post