Laluan Expressway Samarahan, Jalan Dato Mohd Musa kembali sibuk, sesak

Kelihatan kenderaan kembali memenuhi laluan Expressway Samarahan, Jalan Dato Mohd Musa selepas hampir seminggu lenggana cuti Gawai.

KOTA SAMARAHAN-- Setelah enam hari lengang berikutan perayaan Hari Gawai Dayak 1 Jun lalu dan disambung dengan sambutan Hari Yang di-Pertuan Agong semalam, Jalan Expressway Samarahan dan Jalan Dato Mohd Musa di sini kembali sibuk dan sesak.


Kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan bermula sejak awal pagi tadi ekoran kebanyakan orang mula kembali bekerja hari ini. 


Sehingga 12 tengah hari tadi, jalan raya di laluan berkenaan hingga ke bulatan Tabuan agak sibuk dan berlaku kesesakan sebelum bulatan Samarahan (Samarindah/Unimas). 


Kesesakan itu dari bulatan berkenaan hingga ke simpang kampus UiTM 2 berdekatan bangunan SALCRA. 


Bagaimanapun, aliran trafik di situ masih terkawal. 


Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos memberitahu, masalah paling kritikal di Samarahan iaitu kesesakan trafik bakal diatasi tidak lama lagi selepas kerja-kerja pemasangan lampu isyarat dijangka siap Oktober tahun depan.


Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melantik kontraktor baharu pada Julai ini bagi menyiapkan projek tersebut. 


"Apabila projek lampu isyarat ini siap kelak, ia akan memberi kelegaan kepada semua rakyat di Samarahan. 


"Begitu juga dengan projek Transit Aliran Automasi (ART), apabila siap kelak, masalah kesesakan di Samarahan akan diatasi," katanya. 

Next Post Previous Post