Tiada keperluan Mesyuarat Khas Parlimen bahas RUU - Wan Junaidi

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR—Tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis. 


Sebaliknya beliau berkata rang undang-undang berkaitan peruntukan larangan itu akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaannya.


Beliau berkata beberapa faktor telah dipertimbangkan semasa sesi perbincangan bersama Ismail Sabri, antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang dijangka boleh digunakan untuk perkara lain seperti membantu kelangsungan rakyat.


“Pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Selain itu beliau berkata penyertaan ramai ahli Parlimen dalam lawatan ke luar negara ketika ini sehingga pertengahan Julai bagi mengikuti program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana ia melibatkan lain-lain pihak berkepentingan, termasuk dua Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan.


Wan Junaidi berkata pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengikut takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan datang akan memberi masa mencukupi untuk rang undang-undang itu diteliti Ahli Parlimen sebelum ia dibahas, dan katanya perkara itu tidak dapat dilaksanakan jika Mesyuarat Khas diadakan.


Beliau berkata jika Mesyuarat Khas diadakan, ia hanya dapat diadakan pada pertengahan Julai tahun ini memandangkan ketiadaan ramai Ahli Parlimen sebelum pertengahan bulan itu.


Menurut Wan Junaidi, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata yang disediakan.


Penyata itu akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, katanya.  


-- BERNAMA

Next Post Previous Post